Gallifuoco, Mendoza Lengkapkan Skuad KL City

SKUAD Kuala Lumpur City FC kini lengkap untuk sepak mula Liga Super 2021 pada 5 Mac dengan ketibaan penjaga gol Kevin Mendoza dan pertahanan Giancarlo Gallifuoco.


Jurulatih Bojan Hodak pula turun padang buat kali pertama sejak Liga Bolasepak Malaysia mendapat pelepasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir seperti dijadualkan pada 15 Febuari bagi menyediakan pasukan untuk perlawanan pertama.


Kesemuanya, 30 pemain tempatan dan import telah ditandatangani termasuk bekas penyerang Terengganu, Dominique Da Sylva, dan Romel Morales, yang tiba dari Colombia selepas meninggalkan Melaka United.


Kapten pasukan Paulo Josue akan memasuki musim yang kelima bersama Kuala Lumpur manakala Mendoza dan Gallifuoco melengkapkan kuota pemain asing.


“Walaupun banyak perubahan yang kami lakukan, pasukan telah lengkap dan sekarang kita perlu bina keserasian di antara pemain. Kita mahu pastikan Kuala Lumpur dapat kekalkan tempat di Liga Super,” kata ketua pengawai eksekutif Kuala Lumpur City, Stanley Bernard.


Di antara pemain-pemain tempatan baru yang menyertai Kuala Lumpur bagi musim 2021 adalah dua bekas pemain ibukota iaitu Safee Sali dan Irfan Zakaria.


Turut memperkuatkan pasukan adalah Hadin Azman, seorang bekas pemain bawah-18 Kuala Lumpur, dan Daniel Ting, yang kembali mewarnai kancah bolasepak Malaysia selepas dua tahun berkelana di Australia.


Pemain-pemain seperti Zhafri Yahya, Zamir Selamat, Akram Mahinan, Indra Putra Mahayuddin dan Shukor Adan masih setia bersama Kuala Lumpur dan bakal menyumbang pengalaman mereka dalam misi kelab untuk mengekalkan taraf sebagai pasukan Liga Super.


Tamat