Stanley Bernard Lancar Era Baru Bagi Kuala Lumpur

LAPAN tahun selepas meninggalkan Kuala Lumpur dan bersara sebagai pemain bolasepak, Stanley Bernard (kanan) kembali ke pangkuan pasukan asalnya dengan membuka lembaran baru dalam era penswastaan kelab.

 

Pelantikan Stanley sebagai ketua pegawai eksekutif Kuala Lumpur City Football Club (KLCFC) melengkapkan satu kitaran bagi bekas penyerang ini yang turut berkelana ke Sporting Clube de Goa di India dan menceburi bidang media sebagai pengulas. Siapa yang tidak pernah dengar ulasan Stanley, baik dalam Bahasa Malaysia atau Inggeris, bagi perlawanan tempatan dan antarabangsa di kaca mata televisyen anda, mahupun temubual bersama jurulatih dan pemain sebelum dan selepas perlawanan.

 

Peluang untuk berkhidmat bersama Kuala Lumpur semula menjelma hampir tiga bulan yang lalu ketika Stanley ditanya sekiranya beliau berminat untuk menggalas tugas sebagai ketua pegawai eksekutif KLCFC, satu perkara yang jarang berlaku dalam kancah bolasepak Malaysia di mana ia melibatkan pelantikan seorang bekas pemain dalam pengurusan kelab.

 

Stanley, 35, mewakili Kuala Lumpur mulai 2004 sebagai pemain belia dan dinaikkan oleh jurulatih Razip Ismail ke pasukan senior pada 2008 ketika penyerang muda itu menjaringkan empat gol, termasuk dalam kemenangan mengejut 1-0 ke atas juara “double treble” Kedah dalam saingan Piala Malaysia.

 

Selepas meninggalkan Kuala Lumpur untuk kali pertama, Stanley kembali berkhidmat bagi musim 2012 bagi saingan Liga Super sebelum mengumumkan persaraan apabila tamat musim setelah mencatat lebih dari 30 penampilan bagi Kuala Lumpur dan menjaringkan lima gol.

 

Berdasarkan kelayakan yang dimilikinya seperti diploma dalam pengurusan perniagaan, lesen kejurulatihan “B” Konfederasi Bolasepak Asia dan pengalaman sebagai pemain dan pengulas bolasepak di dalam dan luar negara, Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) menemui calon yang paling sesuai untuk menguruskan kelab bolasepak milik mereka.

 

“Apabila peluang ini hadir saya merasakan saya memenuhi kesemua kriteria untuk menjadi ketua pegawai eksekutif. Selepas menjalani semua proses yang diperlukan, saya dilantik sepenuh masa,” kata Stanley dalam temubual bersama Astro Arena pada 14 Disember 2020.

 

“Rasa seperti kitaran penuh sebab saya pernah tinggal di sini sebagai pemain Akademi dan kemudian menjadi pemain Kuala Lumpur dan di luar negara dan menjadi pengulas. Ini boleh dikatakan tugas yang paling berat pernah saya pikul tetapi sebagai bekas pemain, saya ketepikan semua perkara lain untuk melaksanakan satu pelan bagi meneruskan kesinambungan kelab ini.”

 

“Sedikit menakutkan, walaupun sedap di dengar,” tambah Stanley mengenai pelantikkannya. “Kita mempunyai beberapa peringkat untuk dilalui sebelum dapat memastikan kesinambungan kelab ini. Kalau dalam masa lima tahun saya meninggalkan tempat ini dengan masa depan kelab ini terjamin, tugas saya selesai.”

 

Stanley mempunyai banyak perancangan untuk meningkatkan status KLCFC dari segi pengurusan, pemasaran dan meluaskan tapak penyokong. Antaranya ialah menempatkan penggunaan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Bandar Tun Razak sebagai pusat segala aktiviti KLCFC. “Dari pemahaman saya, perkara utama dalam pengurusan kelab bolasepak ialah stadium,” jelas Stanley. “Kelab akan melalui banyak masalah apabila stadium bukan hak milik mereka. Kita sedang melihat bagaimana kita boleh menukar konsep ini dengan menjanakan pendapatan dari stadium. Untuk perkara ini berlaku, kita perlu memiliki stadium atau memiliki hak untuk menguruskan dan menjanakan pendapatan dari semua aktiviti di stadium.

 

“Saya juga berterima kasih kepada Datuk Bandar Datuk Mahadi Che Ngah dan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa kerana sejak stadium ini dibina pada 1988, kita mempunyai fasiliti yang baik dan banyak perkara yang boleh dilakukan. Kita layak ke Liga Super juga disebabkan penjalinan hubungan yang baik dengan semua pihak dan kita mahu melanjutkan hubungan ini.

 

“Yang kedua, ialah penciptaan kandungan di luar daripada 90 minit perlawanan bolasepak. Ramai melihat 90 minit itu adalah segala-segalanya sebab ia adalah tarikan besar. Tetapi penciptaan kandungan seperti perjalanan seorang pemain, perjalanan latihan pasukan dan kegiatan harian pemain, jurulatih dan pengurusan yang dilihat dari sudut perfileman boleh digunakan untuk pemasaran kelab.”

 

Bagi mempastikan kelab ini dapat menjanakan pendapatan sendiri, Stanley telah membuka perbincangan dengan beberapa pihak luar untuk membentuk kerjasama dengan KLCFC sebagai langkah pertama untuk menjamin kebajikan kelab.

 

“Kita perlu beralih dari pemikiran penajaan dan bergerak ke arah kerjasama. Sebagai syarikat persendirian, kita tidak boleh pergi kepada sesiapa hanya untuk hanya meminta penajaan,” kata Stanley.

 

“Syarikat diwujudkan untuk menjana pendapatan dan mengaut keuntungan. Jadi, menjalani kerjasama dengan pihak luar harus memberi kebaikan dari segi pemasaran jenama atau penjualan kepada pihak tersebut menerusi pelaburan dalam bolasepak.

 

“Kelab ini perlu diuruskan dari segi menjanakan pendapatan. Permainan bolasepak adalah pusat kos dan penjanaan pendapatan harus melebihi kos ini. Tugas pertama saya adalah untuk membentuk aliran penjanaan pendapatan sebelum kita boleh memikirkan hala tuju kelab ini dari segi kejayaan di padang dan pengambilan pemain dan jurulatih.”

 

Bagi pembentukan skuad bagi musim 2021, Stanley berkata kelab giat menjalankan perbincangan untuk melantik jurulatih dan pemain-pemain baru. Pemilihan jurulatih yang baru bagi menggantikan Nidzam Adzha Yusoff, yang akan menjadi penolong jurulatih kerana tidak memenuhi kriteria jurulatih Liga Super yang ditetapkan oleh Malaysian Football League, akan berdasarkan objektif yang mahu dikecapi oleh kelab.

 

“Saya mahu ucapkan terima kasih kepada setiap individu di KLFA termasuk YB Presiden, pegawai, pengurusan, ahli jawatankuasa eksekutif, jurulatih dan pemain kerana layak ke Liga Super. Kejayaan ini sangat penting untuk melakukan pengalihan ini,” kata Stanley.

 

“Perbincangan yang berlaku bagi pemilihan jurulatih adalah di antara beberapa individu yang penting. Dengan pelantikan saya, saya juga mahu terlibat dalam perbincangan ini sebelum apa-apa keputusan dibuat dan surat pelantikan di hantar. 

 

“Kalau kita bawa masuk jurulatih dari luar yang tidak pernah melihat kancah bolasepak Malaysia dan disuruh memilih pemain, beliau akan gagal. Kalau kita mahu menggunakan kemahirannya dari segi teknikal, taktikal dan falsafah bolasepak, ia boleh dibincang.”

 

Kehadiran pemain veteran seperti Shukor Adan dan Indra Putra Mahayuddin menyebabkan Kuala Lumpur kerap dipanggil pasukan kuda tua, satu label yang tidak disangkal oleh Stanley, yang berharap untuk menurunkan purata usia pemain-pemain dengan membawa masuk tenaga muda.  

 

“Saya pernah bermain bersama kedua-dua mereka. Shukor adalah ketua di atas padang manakala Indra mempunyai kebolehan luarbiasa dalam perlawanan besar dan menjaringkan gol yang penting,” tambah Stanley. “Kedua-dua mereka mempunyai peranan dalam pasukan dengan memimpin pemain-pemain muda walaupun mereka mungkin tidak bermain dalam banyak perlawanan disebabkan usia mereka.” 

 

Akhir kata, kesayangan untuk kelab asalnya adalah unsur utama yang mendorong Stanley untuk kembali berkhidmat bersama Kuala Lumpur.

“Hati saya masih di sini sebab tempat ini ibarat rumah saya. Saya masih mengenali makcik-makcik yang berkerja di stadium dan mereka mengenali saya dari umur 13 tahun. Mereka antara individu-individu yang pertama saya berjumpa dan tanyakan apa keperluan mereka,” kata Stanley.