AZRI CEMERLANG DI PENTAS TERTINGGI

Azri Ghani berharap dapat meneruskan prestasi cemerlangnya musim ini apabila Kuala Lumpur City bertemu Tampines Rovers dalam perlawanan kedua Kumpulan H Piala AFC pada Khamis.

 

Selepas membantu Kuala Lumpur mengikat PSM Makassar 0-0 dalam perlawanan pembukaan Piala AFC pada Jumaat lalu di Cheras, Azri belum bolos lagi dalam dua penampilan bagi kelab barunya.

 

Azri juga menampakkan persembahan yang baik di Sukan Sea baru-baru ini di Hanoi dalam aksi lima perlawanan dan membantu Malaysia layak ke separuh akhir sebelum mengalami kecederaan.

 

Penjaga gol yang berusia 23 tahun ini dipilih untuk aksi menentang Makassar selepas jurulatih Bojan Hodak memilih untuk mengorbankan Kevin Mendoza akibat peraturan pertandingan yang hanya membenarkan empat pemain import diturunkan.

 

“Ia satu pengalaman yang berharga bagi saya apabila dapat peluang untuk beraksi di pentas yang besar buat kali pertama,” kata Azri yang membuat penampilan pertama bersama Kuala Lumpur semasa kemenangan 8-0 ke atas Langkawi City dalam Piala FA.

 

“Pada mulanya terkejut juga bila dipilih sebab saya pun tak jangka. Tapi coach Bojan dah bagi tahu awal-awal supaya saya boleh bersiap sedia kerana Kevin tidak dapat bermain akibat peraturan pemain import.”

 

Azri tiada masalah menangani percubaan oleh Makassar dan hanya melalui satu detik kecemasan apabila rembatan Yakob Sayuri menghinggap di palang gol sejurus sebelum separuh masa.

 

“Semasa perlawanan, saya tiada apa-apa masalah,” kata Azri yang berhijrah ke Kuala Lumpur dari Perak.

 

“Pertahanan bekerja keras dan bermain baik supaya mudah bagi saya menjaga pintu gol. Hanya sekali itu bila saya mati langkah dan bersyukur bola terkena palang.

 

“Kami juga tidak bernasib baik kerana tidak dapat menjaringkan gol dan mendapatkan kemenangan.”

 

Azri sedia untuk diturunkan sekali lagi pada Khamis sekiranya dipilih dan berharap dapat peluang bermain dalam banyak lagi perlawanan musim ini.