AKRAM MENJADI PENCIPTA GOL, BUKAN SAHAJA PEMUSNAH LAWAN

AKRAM Mahinan jarang menjadi pemain yang mencipta peluang jaringan gol untuk rakan-rakannya tetapi itu semua berubah ketika Kuala Lumpur City menewaskan Tampines Rovers 2-1 dI perlawanan Piala AFC pada Khamis lepas.

 

Pemain tengah ini, yang tugasnya adalah untuk mematahkan serangan lawan, memintas bola di tengah padang pada minit ke-16 sebelum melorongkan bola kepada Paulo Josue apabila melihat larian kapten pasukan itu.

 

Josue menyudahkan peluang itu bagi gol pembukaan perlawanan dan Akram mencatat bantuan gol keduanya musim ini.

 

“Ada juga saya mencipta peluang untuk pemain lain cuma tak gol sahaja. Tapi apabila saya lorongkan bola untuk Paulo, Alhamdulillah, dia dapat menjaringkan gol,” kata Akram.

 

“Apabila saya pintas bola di tengah padang, saya buat seperti yang kami biasa buat dalam latihan dengan membuat serangan balas pantas dan mencari Paulo atau Romel (Morales).

 

“Rasa seronok dapat bantu pasukan menjaringkan gol dan layak ke peringkat seterusnya.”

 

Akram berkata melangkah ke peringkat kalah-mati Piala AFC bakal membakar semangat pasukan untuk mengharungi perlawanan-perlawanan seterusnya dalam saingan Piala FA dan Liga Super.

 

“Bagi saya, ia satu sejarah di Piala AFC apabila mara ke peringkat kalah-mati dan satu motivasi baik untuk liga dan Piala FA yang akan datang,” tambah Akram, yang telah membuat 53 penampilan untuk Kuala Lumpur sejak 2020.

 

“Saya harap bukan setakat ini sahaja pencapaian kami dan kami mampu pergi lebih jauh lagi sehingga ke perlawanan akhir.”

 

Kuala Lumpur akan berjumpa Viettel dari Vietnam pada Ogos 10 di separuh akhir zon Asean manakala Kedah akan menentang PSM Makassar dari Indonesia dengan kemungkinan dua pasukan dari Malaysia bertemu di perlawanan akhir zon Asean.

 

Kedah juga adalah negeri asal dan pasukan lama Akram, yang pasti teruja sekiranya kedua-dua pasukan layak ke peringkat berikutnya.

 

“Kalau jumpa Kedah ia juga sesuatu yang melambangkan kekuatan Liga Malaysia,” kata Akram, yang membuat 57 penampilan untuk Kedah pada 2017 dan 2018. “Menentang Kedah di final zon Asean mesti menakjubkan. Tetapi kita kena fokus pada separuh akhir di Vietnam dulu.”

 

Kuala Lumpur akan berjumpa Selangor di Stadium Petaling Jaya pada 8 Julai dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA.