KEJAYAAN PIALA AFC BAKAR SEMANGAT HAQIMI DI KEJOHANAN AFF

Walaupun tidak dapat beraksi dalam Piala AFC, kejayaan Kuala Lumpur City melangkah ke peringkat kalah mati membakar semangat penyerang muda Haqimi Azim Rosli apabila menyarung jersi kebangsaan minggu depan.

 

Haqimi akan bermain dalam pertandingan rasmi antarabangsa buat kali pertama selepas dinamakan dalam skuad kebangsaan bagi Kejohanan AFF Bawah-19 di Jakarta.

 

Sejurus tamatnya perlawanan menentang Tampines Rovers pada Khamis, Haqimi bergegas ke lapangan terbang untuk penerbangan awal pagi Jumaat ke Jakarta berseorangan.

 

Pasukan Malaysia dibawah bimbingan Hassan Sazali Waras telah pun berlepas sehari awal tanpa Haqimi, yang diperlukan oleh jurulatih Kuala Lumpur, Bojan Hodak, bagi dua perlawanan Kumpulan H Piala AFC.

 

“Persiapan bersama KL untuk Piala AFC adalah juga persiapan saya untuk Kejohanan AFF ini,” kata Haqimi, 19, yang telah membuat empat penampilan untuk pasukan senior Kuala Lumpur. “Untuk mencari keserasian dengan pemain kebangsaan lain mungkin sukar sikit sebab sudah seminggu saya tidak bersama mereka.

 

“Bila tiba di sana cabarannya ialah untuk menyesuaikan diri bersama pasukan tetapi saya pernah bermain dua perlawanan persahabatan sebelum ini jadi penyesuaian tak patut jadi masalah.”

 

Haqimi membuat penampilan pertama untuk Malaysia ketika mewakili pasukan bawah-23 Malaysia ketika menentang Timor Leste dalam perlawanan persahabatan pada 29 April.

 

Malaysia akan memulakan cabaran di Jakarta menentang Kemboja pada 5 Julai, Singapura pada 7 Julai, Timor Leste pada 9 Julai dan Laos pada 11 Julai.

 

“Saya yakin kami boleh pergi jauh, sampai ke final. Kami hendak sangat berjumpa pasukan-pasukan yang kuat seperti Vietnam, Indonesia dan Thailand. Saya mempunyai harapan yang tinggi di sana,” jelas Haqimi.

 

“Bila di sana saya perlu fokus dengan penuh, beri perhatian pada apa jurulatih pesan, bekerja keras dan percaya pada hasil.”

 

Haqimi berterima kasih kepada Safee Sali untuk tunjuk ajar yang diberi selama ini.

 

“Di KL saya idolakan Safee yang banyak mengajar saya tentang cara nak masuk dan cari ruang sebab posisi saya ialah penyerang. Kalau dapat peluang untuk bermain dengan KL, saya akan cuba yang terbaik,” kata Haqimi yang telah menjaringkan tujuh gol bagi pasukan Piala Belia.