ZHAFRI SEDIA GALAS TANGGUNGJAWAB BERAT KETUAI PASUKAN

Zhafri Yahya sedia menggalas tanggungjawab untuk membimbing Kuala Lumpur City tanpa kehadiran kapten Paulo Josue apabila turun menghadapi Petaling Jaya City dalam perlawanan Liga Super di Cheras pada Sabtu ini.

 

Sebagai salah pemain yang paling senior dalam pasukan, Zhafri bakal ditugaskan sebagai kapten pasukan untuk perlawanan ini walaupun jurulatih Bojan Hodak juga sedang mempertimbangkan Irfan Zakaria untuk tanggungjawab ini.

 

Zhafri telah membuat 156 penampilan sejak menyertai Kuala Lumpur pada 2016 manakala Irfan, yang juga mewakili Kuala Lumpur mulai musim yang sama, telah membuat 130 penampilan. Namun, Irfan berkelana ke Kedah untuk satu musim pada 2020.

 

Selain Josue, yang mengalami kecederaan di pangkal paha ketika menentang Selangor dalam perlawanan Piala FA pada 8 Julai, pemain tengah Akram Mahinan dan pertahanan kanan Kamal Azizi Zabri menjalani penggantungan satu perlawanan manakala J. Partiban (pangkal paha) dan Nabil Hakim Bokhari (lutut) turut mengalami kecederaan.

 

Zhafri, yang sering bermain di sayap kanan selepas Hodak mengambil alih tugas sebagai jurulatih, sedia kembali mengemudi jentera tengah sekiranya diperlukan.

 

“Sesiapa yang diberi tanggungjawab di bahagian tengah perlu memberi usaha 100 peratus untuk mengisi tempat Akram dan Paulo,” kata Zhafri, yang telah menjaringkan empat gol musim ini dan 17 keseluruhan bagi Kuala Lumpur.

 

“Jurulatih akan membuat perancangan dan kita sebagai pemain harus tahu bagaimana menjalankan arahan yang diberi.”

 

Zhafri mempunyai pengalaman mengetuai pasukan apabila diberi lilitan kapten dalam perlawanan Piala FA menentang Langkawi City ketika Josue direhatkan sebelum dimasukkan sebagai pemain gantian.

 

“Tahun ini Paulo belum lagi terlepas mana-mana perlawanan dan tahun lepas pun hanya dua perlawanan yang Paulo terlepas, jadi sudah biasa tengok Paulo berada dalam kesebelasan utama,” kata Zhafri, 27.

 

“Kalau diberi amanah sebagai kapten, saya terima tanggungjawab ini. Ini akan menjadi kali pertama saya menjadi kapten dalam perlawanan Liga Super.”

 

Zhafri berharap Kuala Lumpur berjaya mencatat kemenangan bagi mengatasi kedukaan kekalahan derbi Lembah Kelang menentang Selangor, walaupun beraksi tanpa Josue, yang merupakan penjaring tertinggi Kuala Lumpur musim ini dengan tujuh gol dalam semua pertandingan.

 

“Jarang Paulo tiada dalam pasukan dan kita pun tidak berapa pasti apa bezanya nanti tanpa Paulo,” kata Zhafri. “Kita semua serasi dengan Paulo dan bila Paulo tiada, kita kena berusaha lebih untuk mengharungi situasi ini. Bila di atas padang, kita tidak boleh berfikir siapa yang ada dan siapa yang tiada. Kita perlu tumpukan penuh perhatian pada permainan dan berusaha mencari kemenangan.

 

“Sesiapa yang diberi kepercayaan untuk mencari gol perlu berusaha untuk menghasilkan gol. Tidak kiralah siapa yang menjaringkan gol, baik penyerang atau pemain pertahanan, sebab kita tidak mengharapkan pada satu orang sahaja untuk menjaringkan gol.”