16 Dec KENYATAAN MEDIA PERSIAPAN KESELAMATAN STADIUM BAGI PERLAWANAN KUALA LUMPUR CITY FC VS JOHOR DARUL TA’ZIM
Kuala Lumpur City Football Club mengesahkan bahawa segala persiapan keselamatan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, telah dirancang dan diperkemaskan sepenuhnya menjelang perlawanan Liga Super Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dijadual berlangsung pada Rabu ini.
Pihak kelab dengan kerjasama pengurusan stadium, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), pasukan keselamatan acara & stadium dan lain-lain pihak yang berkepentingan, telah mengadakan beberapa sesi mesyuarat penyelarasan bagi memastikan aspek keselamatan, kawalan penonton dan kelancaran operasi perlawanan berada pada tahap yang optimum.
Antara langkah keselamatan yang telah dirancang termasuklah kawalan pintu kemasukkan stadium, pemeriksaan keselamatan ke atas penonton, pemantauan ‘Closed Circuit Television (CCTV) secara menyeluruh, pengurusan laluan masuk dan keluar penyokong serta penugasan pegawai keselamatan/acara yang mencukupi di setiap zon stadium.
Pihak Kuala Lumpur City FC turut menyeru semua penyokong untuk memberikan kerjasama yang sewajarnya kepada para petugas keselamatan terutamanya, mematuhi peraturan stadium dan peraturan pelaksanaan Pasukan Tuan Rumah, hadir dengan lebih awal berbanding biasa bagi mengelakkan kesesakkan, serta menjaga disiplin dan memelihara semangat kesukanan sepanjang tempoh perlawanan berlangsung.
Kuala Lumpur City FC yakin dengan persefahaman semua pihak pemegang taruh, perlawanan ini boleh berjalan dengan lancar, selamat dan meriah, sekaligus memberikan pengalaman yang positif untuk penyokong kedua-dua pasukan.
Majulah sukan untuk negara.
No Comments