Bojan Hodak Pemangkin Kebangkitan KL City

SETELAH sekian lama terumbang-ambing di antara Liga Super dan Liga Premier, Kuala Lumpur City FC mahu wujudkan tempoh kelestarian untuk jangkamasa panjang.


Satu langkah ke arah itu adalah pelantikan jurulatih ternama, Bojan Hodak, untuk mengendalikan pasukan Kuala Lumpur untuk Liga Malaysia 2021 bermula 5 Mac 2021.


Hodak, 49, yang menjalani tempoh kuarantin selepas tiba dari Croatia,  menjadi pilihan Kuala Lumpur untuk menjadi ketua jurulatih selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk kesesuaian jurulatih dengan kancah bolasepak Malaysia, pengenalian jurulatih bersama pemain-pemain dan pengetahuan taktikal jurulatih.


Sebagai pemegang lesen jurulatih UEFA Pro, iaitu yang tertinggi di benua Eropah, Hodak juga memenuhi kriteria kelayakan sebagai jurulatih.


Bagi musim baru ini, keutamaan Hodak adalah untuk menstabilkan pasukan Kuala Lumpur di Liga Super, seperti yang dinyatakan sebelum ini oleh ketua pegawai eksekutif Kuala Lumpur City Football Club, Stanley Bernard.


“Tugas pertama saya adalah untuk Kuala Lumpur mendapat kestabilan musim ini. Apabila saya bercakap dengan pemain, ramai terkejut mendapat tahu yang Kuala Lumpur tidak pernah melebihi tangga ke-sembilan dalam divisyen utama sejak tahun 2000,” kata Hodak.


“Jadi, kita tidak mahu asyik bergelut dengan penyingkiran. Kalau itu berlaku, ia bukan satu pembaharuan. Kita perlu menunjukkan yang KL mampu kekalkan tempat di Liga Super. Kalau sasaran itu boleh dicapai secepat mungkin, kita boleh meletakkan sasaran lain pula.”


Hodak pernah melatih ramai pemain-pemain Kuala Lumpur sebelum ini semasa bertugas di UPB-MyTeam, Kelantan dan Johor Darul Ta’zim seperti Indra Putra Mahayuddin, Safee Sali, Fakhrul Aiman Sidid, Hadin Azman dan Nik Shahrul Azim Ab Halim.


Sebagai jurulatih kebangsaan bawah-19, Hodak juga sangat mengenali pemain-pemain muda Kuala Lumpur seperti Azhar Apandi, Alif Safwan Sallahuddin, Arif Shaqirin Suhaimi, Anwar Ibrahim dan Izreen Izwandy.


“Pasukan Kuala Lumpur mempunyai adunan pemain-pemain pengalaman dan muda yang baik. Yang penting ialah kesemua mereka mendahagakan kejayaan dan ini akan menjadi pemangkin untuk membangunkan kelab ini.”


Hodak adalah nama yang tidak asing di Malaysia dan merupakan di antara jurulaith-jurulatih yang paling berjaya dalam tempoh 10 tahun yang lepas.


Beliau menjuarai Liga Super dua kali, Piala FA dua kali dan Piala Malaysia sekali Ketika bersama Kelantan dan Johor Darul Ta’zim (JDT). Ini termasuk memenangi tiga piala dalam satu musim bersama Kelantan pada 2012 dan mempertahankan Piala FA pada musim berikutnya.


Pada 2014, Hodak membimbing JDT menjuarai Liga Super yang pertama mereka. Hodak juga muncul naib juara Piala Malaysia pada dua tahun berturut-turut bersama Kelantan (2013) dan JDT (2014).


Hodak mula terlibat dalam bolasepak di Malaysia pada 2016 apabila mengambil alih sebagai jurulatih di UPB-MyTeam. Beliau membantu UPB-MyTeam menjadi naib juara Liga Premier 2017 dan layak ke Liga Super.


Pada 2016, Hodak dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif Pulau Pinang ketika pasukan berada di tangga terbawah Liga Super selepas 11 perlawanan sebelum mengakhiri musim di tangga kelima.


Sebagai jurulatih pasukan kebangsaan bawah-19, Hodak membimbing anak-anak muda Malaysia menjuarai Kejohanan AFF Bawah-19 pada 2018 dan layak ke Kejohanan AFC Bawah-19 pada 2019. Ini bermaksud Hodak akan dapat mengembangkan pembangunan pemain-pemain muda Kuala Lumpur.


Hodak juga pernah melatih Phnom Penh Crown pada 2011 yang layak ke perlawanan akhir Piala Presiden AFC dan membimbing pasukan simpanan Shandong Luneng Taishan menjuarai Liga Simpanan China pada 2011-12.